Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands

SABTU-AHAD | 11-12 JUN 2022


Nak kata pergi bercuti di Cameron Highlands (CH) pun tak jugak, sebab cuma menyinggah sekejap tapi sempatlah bermalam. Tujuan asalnya nak ke Chegar Perah, Pahang sebab encik suami ada kerja di sana pada hari Isnin. Perjalanan dari PP perlu melalui Simpang Pulai - Lojing - Gua Musang - Chegar Perah. Alang-alang kena lalu Simpang Pulai, encik suami ajak menginap di Tanah Rata untuk satu malam.


HILLSIDE COTTAGE - Penginapan Berkonsepkan Rumah Kampung Di Lereng Bukit


Penginapan pilihan kami kali ini - Hillside Cottage. Lokasinya di belakang The Cool Point Hotel. Nak masuk sini memang kena parkir dan ambil kunci di kaunter hotel, tapi pengurusan keduanya adalah berbeza. Kami tahu tempat ni pun sebab pernah menginap di The Cool Point Hotel dan ternampak Hillside Cottage ni. Saya buat tempahan dua hari sebelumnya, Alhamdulillah masih ada satu kekosongan untuk Studio Room.

Disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan, kami bertolak lewat dari PP. Tambahan pulak hujan di sepanjang perjalanan dan beberapa laluan di Simpang Pulai berkabus tebal yang menyukarkan pemanduan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke Hillside Cottage sekitar pukul 9 malam.

Esok harinya barulah saya berpeluang melihat-lihat sekitar dan berfoto-foto. 

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas ambil kunci di kaunter hotel, kita terus menuju ke bahagian belakang hotel. Akan nampak tangga begini. Naik atas untuk ke bilik-bilik penginapan Hillside Cottage. Kat sini cuma ada empat buah bilik penginapan je - dua buah jenis Studio Room dan dua buah jenis Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas naik tangga, ada satu laluan ke kanan. Sebelah kanan ni ada gazebo, tempat BBQ dan sebuah penginapan Family Room di hujung sekali. Memang seronok dan tenang kalau dapat berbuai santai kat sini. Tapi tak dapatlah nak berbuai sebab buaian basah dek hujan malam tadi.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Penginapan kami terletak di laluan kiri - dinding kayu berwarna hijau. Bilik jenis Studio Room. Ada sebuah lagi bilik Studio Room tak kelihatan dalam gambar - terletak bersebelahan bilik penginapan kami.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Di hujung sekali tu ada sebuah lagi bilik Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Inilah rupa bahagian dalam bilik penginapan kami - nama bilik ni Dandelion. Foto ni saya ambil sebaik saja tiba di bilik malam tadi. Keluasan bilik yang memuaskan. Ada tv tapi tak nampak dalam gambar sebab kedudukan di sebelah pintu masuk. Secara keseluruhannya, bilik ni ok cuma saya terganggu dengan bau cat. Juga ada beberapa hal yang perlu diperbaiki, tapi tak perlulah saya nyatakan sebab ianya hal-hal kecil yang jika diatasi akan memberi lebih nilai kepada pengalaman penginapan di sini.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Rupa bilik air. Luas dan semuanya berfungsi baik.

Eh, lepas gambar tandas terus gambar makanan pulak ya. Ceritanya, pagi Ahad tu kami rasa malas nak keluar cari makan. Walaupun pada kebiasaanya kalau naik CH mesti akan bersarapan di YZ Agro Farm. Tapi mengenangkan ni hujung minggu dan masih dalam cuti sekolah, mesti sesak jalan nak masuk ke Kg. Taman Sedia. Kebetulan pulak pihak The Cool Point Hotel ada sediakan sarapan dengan bayaran RM12 / dewasa. Menunya ringkas - nasi lemak, mi goreng, roti dan dua jenis minuman. Jadinya kami bersarapan di ruang makan hotel sajalah. Walaupun mungkin agak mahal, tapi kami dapat makan tanpa perlu keluar dari kawasan penginapan dan boleh makan dengan selesa di sini. Satu lagi, nasi lemak dan mi goreng tu memang sedap!

Lepas sarapan, saya memotret bunga cantik ni di perkarangan hotel.

Video sekitar Hillside Cottage berdurasi 00:56 minit. Pertama kali guna aplikasi KineMaster, macam lebih menarik berbanding aplikasi video editor lain yang saya guna sebelum ini.

Bagi yang nak mencari kelainan sewaktu menginap di CH, bolehlah cuba menginap di Hillside Cottage ni - penginapan ala rumah kampung di lereng bukit. Hiasan tamannya menarik dan sesuai untuk yang gemar berfoto. Tapi bersedialah untuk menggigil bila tidur di sini. Yelah kan…tidur di bilik dengan dinding kayu dan terletak pulak di lereng bukit, betul-betul hampir dengan pokok-pokok. Saya sendiri tak lena tidur kerana kesejukkan walaupun dah pakai berlapis, berstokin bagai. Tapi seronok, sebab pengalaman yang jarang dirasai. Catatan suhu pada pukul 8 pagi Ahad adalah 17℃. Memang sejuk!

Berkenaan harga - harga bilik adalah berbeza pada hari biasa, hari hujung minggu dan cuti umum. Macam kami ni dikira harga cuti umum sebab masih dalam cuti sekolah iaitu RM150. Kalau datang hari biasa cuma RM110. Kalau ada yang berminat boleh lihat Fb : Hillside Cottage Cameron Highlands. Ada link WhatsApp untuk tempahan.

————————————————————————-

Sekitar pukul 12.30 tengah hari kami bergerak dari Hillside Cottage untuk meneruskan perjalanan ke Gua Musang. Seperti dijangka, jalan sesak teruk. Perjalanan ke Kampung Raja saja dah mengambil masa selama 3 jam! Tak jadi nak singgah membeli scone di Medan Agro Kea Farm dan memang tak singgah ke mana pun. 




Comments